by The Doors on November 09, 1999 at 00:57:10:
Sunan Kali Jogho
Si miskin makan daun pisang kerana kebuluran
Ketika itu Raden Mas Syahied dilahirkan
Pada putera ini Adipati menyandarkan harapan
Memakmurkan bumi Allah dengan sepenuh penghargaan
Tanah ini tanah Allah
Bumi ini bumi Allah
Sayangilah ia seperti sifatnya yang Maha Pengasih dan Penyayang
Melalui bumi ini Allah memberi sesuatu dan segalanya
Bumi Allah ini harus bersih
Ayam sabung lambang jagoan
Wang dan harta terus dipertaruhkan
Hilang harta hilang semuanya
Anak dan isteri menjadi mangsa
Muntah dan berak tersebar di serata
Sedangkan Demang-Demang bersuka ria
Upeti diambil dengan kuasa dan senjata
Raden Mas Syahied hanya memerhati
Kecil tanpa kuasa siapalah diri
Cuma berdoa semuanya akan berhenti
Pesanan guru terngiang di telinga
Dua hal harus dihayati dan dilaksana
Yakni rukun Islam dan rukun iman
Harus sekaligus dijalankan
Di dalam solat kita berikrar
Hidup dan matiku hanya untuk Allah
Bertahun-tahun sudah berlalu
Kerajaan ini masih begitu
Kaya semakin kaya yang miskin semakin layu
Kerana belas kerana kasihan
Kepada Si Miskin diberi makanan
Tak tersedar ketika mencuri di gudang
Tanpa terfikir ada mata yang terpandang
Putera Adipati dijatuhkan hukuman
Dia redha dengan apa juga balasan
Perasaannya bergolak sendiri
Untuk mencari kebenaran yang hakiki
Keluarnya dia sebagai perompak
Merompak yang kaya juga yang bongkak
Demi mengembalikan kepada yang hak
Niatnya murni tapi tersalah langkah
Mencampuradukkan niat yang baik dengan cara yang salah
Sudah ditakdirkan Tuhan dia selepas itu dia difitnah
Dihalau keluar dari Istana bersendirian mencari arah
Di atas bukit tafakur sendirian
Di mana mungkin adanya jawapan
Terdengar satu suara datang menyatakan
Orang yang hulu tongkatnya emas kau mesti bergurukan
Ternampak Si Tua berjalan di hutan
Lantas menghampirkan diri untuk kepastian
Menjeling ke tongkat sambil bertanya tujuan
Mas Syahied merampas tongkat dengan kekerasan
Si Tua terus jatuh sungguh kasihan
Tongkat diamati dan dihayati
Sedangkan orang tua itu masih menangisi
Katanya dia telah membunuh tanpa disedari
Rupanya satu pokok kecil telah tercabut
Semasa dia dan Mas Syahied bergelut
Semakin percaya semakin yakin Si Tua ini yang harus Mas Syahied turut
Setangkai buah menjadi emas
Hati Mas Syahied semakin tak puas
Terus merayu meminta belas
Agar menjadi murid Si Tua tongkat berhulu emas
Jalan ini telah di pilih
Untuk menanti pacakan tongkat tanpa beralih
Bersama pesanan Kanjeng Sunan Bonang
Kau tidak akan mengenali Allah jika kau tak mengenali diri sendiri
Jawapan yang dicari mungkin datang selepas ini
Sementara itu Ya Allah tidurkanlah aku seperti Ashrabul Kahfi
Akanku jaga tongkat ini sehingga Bonang kembali
Akanku jaga tongkat Bonang di pinggir sungai ini
Di pinggir Kali aku akan menanti
Di pinggir Kali aku akan menjaga
Jaga Kali...Jaga Kali...Jaga Kali
Kali Jogho.....
RupaTanpaWajah